Friday, October 19, 2018

Empat pelajar suspek kes langgar lari di Cyberjaya ditahan, direman 4 hari



PETALING JAYA: Empat suspek kes langgar lari yang membawa kepada kematian seorang wanita di Cyberjaya telah ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata suspek pertama, seorang lelaki Yaman berusia 22 tahun ditahan kira-kira jam 12 tengah malam Khamis di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.



"Seterusnya tangkapan lanjut telah dibuat di Verdi Residence, Symphony Hills, Cyberjaya, Sepang yang mana dua lelaki Libya berumur 24 dan 20 tahun serta seorang wanita berumur 32 tahun berasal dari Sabah telah ditahan.



"Sebuah kereta jenis Hyundai berwarna silver yang terlibat dengan kes turut dirampas," menurut kenyataan tersebut.

Kesemua mereka adalah pelajar di sebuah universiti antarabangsa di Cyberjaya.

"Salah seorang lelaki yang ditangkap mengaku memandu kenderaan Hyundai tersebut semasa kemalangan," katanya.








Dalam perkembangan terbaharu, keempat-empat suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini.



Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sepang, Alpha Dragam, Jumaat.
mStar Online pada Khamis melaporkan seorang kakitangan wanita Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi maut setelah dirempuh dan diseret sebuah kereta dalam satu kejadian langgar lari di kawasan Shaftsbury Square di Cyberjaya Rabu malam.
Abdul Aziz berkata mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales, dilanggar sebuah kereta model Hyundai ketika sedang melintas jalan di kawasan tersebut.
Pemandu dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran BHS 7999 bertindak melarikan diri dalam kejadian kira-kira 7.34 malam.
Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun meninggal dunia kira-kita 4 pagi, Khamis.
Abdul Aziz berkata kereta suspek turut merempuh empat lagi buah kenderaan yang diletakkan di kawasan itu iaitu sebuah kereta Toyota Avanza, Perodua Myvi, Honda City dan Proton.

Dia hanya ke situ untuk beli roti


SEPANG: "Dia hanya ke situ untuk beli roti tapi dilanggar lari pula oleh orang tak bertanggungjawab," kata ibu saudara mangsa langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya, di sini, petang semalam.

Asnah Shamsuddin, 45, berkata anak saudaranya Wan Amirah Wan Alias, 31, baru pulang dari kerja dan singgah di sebuah kedai di situ untuk membeli makanan tersebut sebelum pulang ke rumah di kawasan berhampiran.

"Saya diberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki warga asing yang berang selepas pengawal keselamatan di situ tidak membenarkannya parkir di petak parkir orang kurang upaya (OKU).

"Disebabkan tu, lelaki tersebut memandu keluar kereta jenis Hyundai dalam keadaan marah sebelum merempuh beberapa kenderaan lain dan melanggar anak saudara saya yang turut berada di situ," katanya.

Asnah yang juga Pengurus Kewangan di Kumpulan Media Karangkraf berkata, apa yang dikesalkannya, lelaki tersebut bukan sahaja melanggar dan menyeret anak saudaranya sejauh beberapa meter sehingga menyebabkan kematian, malah turut melarikan diri selepas kejadian.


"Memang terkejut sangat bila dapat berita yang menimpa anak saudara saya tu.Tambah lagi dia jadi mangsa keadaan akibat sikap pentingkan diri serta perbuatan tidak bertanggungjawab orang lain.

"Saya harap pelaku dapat ditangkap cepat dan menerima hukuman setimpal dengan apa yang dilakukannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian oleh orang awam pada jam 7.34 petang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kejadian berlaku apabila suspek lelaki yang memandu kereta Hyundai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton yang diparkir di sebelah kanan.

"Selepas melanggar kereta itu, suspek kemudiannya memandu ke kiri dan melanggar tiga lagi kenderaan iaitu jenis Toyota Avanza, Perodua Myvi serta Honda City yang diletakkan di petak parkir sebelah kiri.

"Pada masa yang sama, terdapat seorang wanita sedang melintas jalan dan dirempuh suspek hingga menyebabkan mangsa cedera parah," katanya.

Abdul Aziz berkata, mangsa yang dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 4 pagi tadi dan polis sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kereta berkenaan.

"Setakat ini, lelaki yang memandu kereta jenis Hyundai dengan nombor pendaftaran BHS 7999 itu masih belum tampil membuat laporan.

"Dia melarikan diri selepas kejadian dan usaha menjejakinya sedang dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.